SIJIL SAKIT PALSU

Apakah tindakan yang boleh diambil oleh KJ jika pegawai memperolehi sijil sakit palsu dan adakah wajar seorang Ketua Jabatan meluluskan cuti sakit bagi kakitangan yang mengemukakan sijil sakit dari klinik swasta ?

Perlu diingat bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar (doktor) itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pegawai kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan. Jika KJ bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pegawai bolehlah diluluskan cuti sakit. Pada tarikh pegawai disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital.

Jika dapat dibuktikan pegawai memperolehi sijil sakit secara tipu/palsu, atau mereka didapati tidak sakit seperti yang dilaporkan oleh doktor, maka KJ boleh tidak meluluskan cuti sakit seperti yang dipohon atau melaporkan kepada pihak polis dan mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap mereka.

Dengan tindakan di atas KJ tidak mempersoalkan integriti doktor yang memeriksa pegawai. Sebaliknya KJ hanya mempersoalkan integriti pegawai terbabit.

Saya petik kenyataan di atas daripada portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga“, inilah peribahasa melayu yang perlu kita jadikan iktibar. Mungkin sekali atau dua kali kita terlepas. Apabila perbuatan buruk kita berulang-ulang kali dilakukan, maka ia akan menimbulkan syak wasangka orang lain.

Kes tipu sijil sakit bukan perkara baharu. Sekitar sepuluh tahun dahulu, saya pernah mendengar isu Guru Besar ke sebuah klinik swasta dan mengugut untuk melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya terus memberikan sijil sakit palsu kepada kakitangannya.

Ini semua soal INTEGRITI.

Sebagai panduan bersama, sekiranya benar kita sayangkan pekerjaan yang kita lakukan sekarang, kita tak perlu berfikir panjang. Cukup katakan kepada diri, “Aku tak akan buat kerja-kerja salah macam ni.”

Apa juga masalah, kita boleh selesaikan dengan baik. Sekiranya kita guru, kita berjumpa dengan Guru Besar atau Pengetua dan bercerita masalah yang sedang kita hadapi sekarang. Ini lebih baik berbanding kita sengaja mencipta masalah baharu dengan mengambil sijil sakit palsu.

HIDUP INI PILIHAN KITA SENDIRI.
BURUK BAIK YANG KITA LAKUKAN ADALAH PILIHAN KITA.

Fikir-fikirkan juga orang-orang terdekat dengan kita yang akan menerima kesan buruk yang sama seandainya kita disabitkan kesalahan berkenaan. Nauzubillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *