KITA DICIPTA DALAM KEHIDUPAN BERMASALAH

Firman Allah SWT:

“Sungguh Kami telah mencipta manusia itu dalam kehidupan bermasalah.” (Al-Balad 90:4)

Saya dan tuan puan adalah manusia biasa. Dan kita seringkali diuji dengan berbagai-bagai masalah. Setuju? Mana mungkin kita hidup tanpa masalah sebab realiti kehidupan memang diletakkan dengan masalah.

“Masalah sebenarnya bukan masalah tetapi cara kita melihat masalah itu masalahnya.” Inilah ungkapan ajaib yang saya jumpa dalam buku You Are The Best, hasil tulisan Dr. Mohd Shafie Bin Md Amin al-Hafiz.

Masalah yang sering menimpa manusia kurang lebih sama sahaja:

[1] Masalah Kewangan – tidak cukup duit.
[2] Masalah hutang.
[3] Masalah kerja terlalu banyak.
[4] Masalah keluarga.
[5] Masalah komunikasi.
[6] Masalah Penyakit
dan banyak masalah lagi yang tak mampu disenaraikan satu persatu di ruangan terhad ini.

Dan saya yakin semua orang tidak suka masalah. Betulkan? Kita akan rasa tertekan dan kurang selesa apabila berdepan masalah. Ada yang cuba lari daripada masalah, dan ia semakin menambahkan masalah.

Realitinya berapa banyak waktu, tenaga dan masa produktif  yang kita telah habiskan kerana terlalu fokuskan masalah? Kita menjadi sangat letih dan gelisah. Rasa marah dan benci bercampur baur. Allahu Akbar!

Kita bukan tidak fokus kepada masalah. Apa yang saya maksudkan di sini kita fokuskan kepada lebih kepada penyelesaian masalah. Bagaimana cara kita menghadapi sesuatu masalah dan solusinya.

Ayat 17, surah Al-An’am telah menjentik hati saya tika saya berdepan dengan berbagai masalah hidup. Selama ini saya fokuskan kepada masalah semata-mata.

“Dan jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu, tidak ada yang dapat menghilangkannya selain Dia…”

Dan kita harus sedar siapa kita di sisi-Nya. Kita sangat kerdil.

Jadi, adakah ada jalan penyelesaiannya?

[1] Istighfar banyak-banyak. Minta ampun kepada-Nya. Dosa kita terlalu banyak.
[2] Lihat semula perkara-perkara yang telah kita lalaikan.
[3] Berdoa kepada Allah dengan rendah diri.

Bagaimana kita mahu mengendalikan masalah?

Secara ringkasnya kita berusaha memperbaiki hubungan kita dengan Allah selepas kita berusaha untuk menyelesaikan apa juga masakah yang sedang kita hadapi. Dan yang paling penting tugas kita BERAMAL SOLEH. Kita fokus kepada usaha (amal soleh).

FOKUS KEPADA PENYELESAIAN MASALAH.

Tak perlulah diungkit masalah yang telah berlaku. Ia sangat meletihkan. jangan terlalu fokus hasil juga, sama ada berjaya atau sebaliknya. Kita fokus kepada usaha kita selesaikan sesuatu masalah. Ia lebih baik dan mendamaikan jiwa.

Semoga bermanfaat.

Rujukan : Buku You Are The Best:Kamu Umat Terbaik.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *