POKET TEBAL

ALHAMDULILLAH, secara realitinya saya melihat ramai rakan-rakan guru yang memiliki bisnes atau kerja sampingan di luar waktu kerja. Dan begitulah uniknya kerja sebagai seorang cikgu. Masa bekerja tak sebagaimana penjawat awam lain yang bekerja dari pukul 8 sehingga pukul 5. Hakikatnya masa bekerja guru lebih daripada masa tersebut. Dan saya akui bukan semua guru mahu melakukan kerja-kerja lain selain daripada bertugas di sekolah. Setuju?

Setelah terlibat dengan dua kerja atau lebih, musuh utama kita ialah FOKUS dan MASA.

Bukan semua orang mampu kekal fokus dengan dua atau tiga tugasan serentak. Dan itulah cabaran kita apabila berada dalam situasi begini.

Saya pernah berbual sekitar 3-4 tahun lepas dengan seorang guru yang berjaya dalam perusahaan kebun sawit. “Saya tak kisah sangat dengan tugasan di sekolah. Cukup ‘time’ pukul 2 petang. Saya balik.”

“Bagaimana dengan tugasan lain?”

“Itu urusan mereka. Kerja saya mengajar di dalam kelas sahaja.”

WOW!

Saya tak perlu ulas panjang. Tuan puanpun maklum tentang hal ini sekiranya guru berkenaan berada di dalam organisasi tuan puan. Apa yang bakal berlaku? Dan bagaimana ia perlu diuruskan? Berat rupanya tugasan pentadbir sekolah.

TANPA SEDAR.
Modal pembelian kebun sawit itu datangnya daripada pinjaman bank menggunakan slip gaji sebagai seorang guru. Tanpa jawatan itu, tentunya sukar untuk sesebuah bank keluarkan pinjaman.

Setuju?

Oleh itu, bersyukurlah kerana masih diberi nikmat menjadi seorang guru yang berpendapatan sekian-sekian. Dan ternyata pendapatan lumayan hasil pinjaman itu membuatkan seseorang itu alpa bahawa tugas hakikinya sebagai seorang guru. Dan ada yang sampai pencen masih berjawatan sebagai seorang cikgu walaupun acuh tak acuh dalam perkhidmatannya. Nauzubillah.

Bayangkan pula,betapa kecewanya anak-anak bangsa kita yang menunggu dengan penuh ‘kemahuan’ untuk belajar di dalam kelas. Bayangkan pula, siapa yang harus dipertanggungjawabkan apabila mereka GAGAL atau mendapat markah RENDAH dalam ujian atau peperiksaan mereka?

Kita sebagai cikgu mereka. Wajar dipertanggungjawabkan kecuali kita juga sudahpun berusaha bersungguh-sungguh. Apakan daya, bukan semua mampu kita pastikan murid-murid kita LULUS cemerlang.

Kita sebagai guru akan dapat merasakan sendiri, sejauhmanakah usaha yang telah kita laksanakan untuk anak didik kita.

BERBANGGALAH KITA andainya kita SUKSES dalam kerjaya kita sebagai seorang guru. Dan kita SUKSES dalam kerjaya kedua kita di luar pagar sekolah. Kedua-duanya memerlukan FOKUS dan MASA berharga kita.

Sama-sama kita renungkan semula.
Siapa kita?
Apa yang telah kita lakukan di sepanjang kerjaya kita?
Bagaimana kita lakukan tugasan ini?

Semoga Allah reda dan kita mampu laksanakan tugasan kita dengan terbaik dan cemerlang.
Dunia dan Akhirat.

Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosa hamba-Mu ini.
Sesungguhnya hamba-Mu ini sentiasa alpa dan lalai.
Kami bertaubat kepada-Mu.
Jadikan kami pendidik yang menjalankan amanah sebagaimana hebatnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW mendidik para sahabat dan umatnya.

Salam Ramadan.
Ramadan al-Mubarak.

17 Ramadan 1438H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *