PERSEDIAAN UNTUK BERJAYA

Adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila seseorang itu berjaya hasil persediaan mereka sebelum berjaya. Mana mungkin kita mampu kecapi kejayaan tanpa sebarang usaha. Sebagai bahan bantu untuk rakan-rakan guru sekalian, saya catatkan di sini contoh kaedah soalan yang boleh ditanyakan kepada pelajar-pelajar tuan puan sebagai alat persediaan untuk berjaya. Ia sebagai salah satu usaha tuan puan untuk membangkitkan rasa motivasi diri untuk berjaya.

[1] Apa yang saya mahu capai?

Soalan ini cukup penting untuk pelajar bertanyakan kepada diri mereka sendiri. Catat secara terperinci di atas kertas apa yang mereka mahu sebenarnya. Dan apakah motivasi diri yang mampu menolak diri untuk berjaya. Contoh, Ali mahu cemerlang dalam UPSR dengan memperolehi 6A. Nyatakan berapakah markah pada setiap subjek yang beliau mahukan.

[2] Bilakah saya mahu capai apa yang saya mahu?

Nyatakan tarikh keputusan akan dikeluarkan. Nyatakan juga di manakah keputusan itu diambil dan gambarkan apa yang berlaku pada masa itu.

[3] Apakah yang saya perlukan untuk merealisasikan impian saya itu?

Senaraikan perkara yang perlu dilakukan segera dan berterusan bagi mencapai matlamat tersebut. Contoh, saya akan menjawab 30 soalan peperiksaan pada setiap hari mengikut subjek. Dengan cara ini seseorang itu akan berdisiplin dengan apa yang mereka lakukan.

[4] Apakah halangan yang akan saya hadapi untuk mencapai matlamat tersebut?

Senaraikan satu persatu halangan yang bakal pelajar itu hadapi. Contoh mudah adalah gagal menepati jadual belajar di rumah. Oleh itu, pelajar itu perlu fokus dan disiplinkan diri untuk mengikuti jadual belajar dengan sebaik-baiknya. Dan kalau boleh kemukakan atau bincangkan cadangan penyelesaian halangan tersebut.

[5] Apakah yang bakal terjadi kepada diri saya apabila matlamat ini dicapai?

Bayangkan pada saat kejayaan dikecapi. Contoh, pada tarikh keputusan dikeluarkan dan anda berjaya memperoleh 6A dalam peperiksaan UPSR. Minta pelajar bertanyakan kepada diri, apa maknanya peperiksaan ini kepada mereka. Sentiasa minta pelajar berfikir dan menemui jawapan sebenarnya. Ia akan meningkatkan motivasi diri pelajar.

Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh setiap murid. Biar mereka berfikir sendiri dan merasa sendiri kepentingan peperiksaan itu kepada diri mereka.  Kita harus mendorong mereka untuk berjaya. Lorongkan jalan sebagaimana yang guru-guru lalui sebelum ini.Insya-Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *